Sambutan SG50 diharap satukan warga rai pencapaian negara

Sambutan SG50 diharap satukan warga rai pencapaian negara

SINGAPORE - Sambutan jubli emas Singapura tahun depan diharapkan dapat menyatukan rakyat untuk meraikan pencapaian Singapura sepanjang 50 tahun lalu dan mengorak langkah berusaha mencapai 50 tahun yang lebih baik lagi.

Ini meskipun Singapura, seperti negara lain, perlu berdepan dengan cabaran di dalam dan luar negara dalam dunia penuh pancaroba.

Itulah pandangan dan luahan harapan beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam mengenai tahun 2015 yang bakal menjelang semasa dihubungi Berita Harian baru- baru ini.

Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata sambutan SG50 menawarkan peluang bagi anak watan merenung bukan sahaja pencapaian negara, bahkan masa mencabar dan krisis yang telah diharungi negara.

"Dengan setiap krisis, DNA kita sebagai sebuah negara menjadi lebih kukuh.

"Kekuatan dalaman secara kolektif serta perpaduan kita akan dicabar sedang kita menjadi masyarakat yang lebih terbuka," ujar Encik Masagos, yang juga AP GRC Tampines.

Beliau berkata dunia yang akan dihadapi Singapura 50 tahun akan datang tidak akan serupa dengan apa yang telah dialami 50 tahun lalu.

Pada peringkat global, kumpulan militan ISIS dan Al-Qaeda merupakan antara yang terlibat dalam permainan kuasa di pentas dunia.

Pada peringkat rantau pula ada parti-parti politik baru dalam pemerintah.

"Jangkakan tekanan kerana setiap negara akan menegaskan pendirian masing-masing, yang kadangkala akan menjejas negara jiran," ujar Encik Masagos.

Dr Intan Azura Mokhtar (GRC Ang Mo Kio) berkata pertumbuhan ekonomi sedunia akan mempunyai kesan terhadap perniagaan dan peluang pekerjaan.

"Ini juga akan memberi kesan kepada keluarga serta keupayaan mereka menyara kehidupan keluarga mereka.

"Satu lagi cabaran bagi masyarakat Melayu/Islam ialah kemungkinan berlakunya tindak balas sedunia terhadap masyarakat Islam disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak rasional kumpulan ekstremis yang mendakwa melakukannya atas nama Islam," ujar Dr Intan.

Pada masa yang sama, beliau menaruh harapan Singapura akan menjadi sebuah masyarakat yang lebih matang.

"Saya berharap kesedaran yang lebih tinggi terhadap isu sosial akan mendorong penyertaan aktif dalam membantu menangani isu tersebut, terutama sekali oleh anak muda kita.

"Dengan ulang tahun negara yang ke-50, saya percaya akan timbulnya kesedaran mengenai rasa cinta kepada negara dan antara satu sama lain, dan kesedaran bahawa banyak kemajuan yang telah dicapai sepanjang setengah abad lalu," ujar Dr Intan.

Encik Zaqy Mohamad (GRC Chua Chu Kang) pula ingin masyarakat Melayu/Islam melakar wawasan baru yang dikongsi sama bagi setengah abad lagi.

"Apakah yang ingin dicapai masyarakat Melayu/Islam dalam fasa seterusnya bagi pembangunan Singapura dan apa tindakan yang perlu diambil untuk mencapainya? Itulah sesuatu yang perlu dibincangkan sebagai satu masyarakat," ujar Encik Zaqy.

Mengulas kemungkinan pilihan raya umum diadakan tahun depan dan kesediaan AP Melayu/Islam menghadapinya, Encik Zaqy berkata: "Kami sentiasa bersedia!"


This article was first published on Dec 29, 2014.
Go to beritaharian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.