Teliti usul guna Medisave bagi penjagaan perubatan di rumah

Teliti usul guna Medisave bagi penjagaan perubatan di rumah

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) akan terus mempertimbangkan penggunaan Medisave yang lebih fleksibel, termasuk untuk perkhidmatan penjagaan perubatan di rumah.

Namun, ia akan tetap memberi tumpuan memastikan rakyat Singapura mempunyai cukup dana dalam akaun mereka jika mereka perlu masuk hospital atau mendapatkan rawatan pesakit luar, kata Menteri Negara Kanan, Dr Amy Khor, di Parlimen semalam.

"Adalah penting untuk memastikan rakyat Singapura mempunyai cukup Medisave untuk kemasukan hospital dan rawatan pesakit luar yang lebih kerap diperlukan sedang umur meningkat.

"Oleh itu, meluaskan penggunaan Medisave untuk perkhidmatan di rumah perlu dilakukan dengan berhati-hati, dengan mengambil kira kecukupan Medisave rakyat Singapura," ujar Dr Khor.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Encik David Ong (GRC Jurong) yang meminta MOH mempertimbangkan meluaskan penggunaan Medisave bagi penjagaan kesihatan di rumah untuk warga tua yang sakit.

Walau bagaimanapun, Dr Khor berkata beberapa langkah telah pun dilaksanakan atau sedang dalam perancangan untuk menangani kos berkaitan penjagaan perubatan di rumah, sedang keperluan bagi penjagaan itu berkembang.

"Hari ini, penjagaan jangka pertengahan dan jangka panjang di rumah diberi subsidi sehingga 80 peratus bagi pesakit yang layak demi memastikan harga penjagaan itu adalah berpatutan.

"Pada 2010, Medisave dilanjutkan kepada penjagaan paliatif di rumah agar rakyat Singapura lebih mampu menggunakan perkhidmatan itu.

"Kami baru sahaja mengumumkan bahawa had Medisave seumur hidup untuk penjagaan paliatif di rumah akan dinaikkan daripada $1,500 kepada $2,500 bagi setiap pesakit.

"Mereka yang mempunyai barah dan kegagalan organ peringkat akhir boleh mengguna Medisave mereka tanpa had untuk rawatan tersebut," ujar Dr Khor.

Tahun depan, MOH akan memperkenalkan Flexi-Medisave, yang mana pesakit tua akan dapat menggunakan sehingga $200 setiap tahun untuk rawatan pesakit luar.

Sementara itu, kementerian itu juga sedang bekerjasama dengan penyedia khidmat penjagaan perubatan di rumah untuk membangun dan memperkenalkan garis panduan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Buat masa ini, tiada garis panduan kementerian berhubung penjagaan di rumah.

Mereka yang memerlukan penjagaan di rumah biasanya terlalu lemah untuk meninggalkan rumah mereka untuk berjumpa doktor, dan mungkin memerlukan bantuan bagi kegiatan harian seperti makan atau mandi.

Pada Mac lalu, pemerintah mengumumkan ia merancang bagi kapasiti sebanyak 10,000 tempat penjagaan perubatan di rumah dan penjagaan kejururawatan menjelang 2020, dan bagi kapasiti sebanyak 7,500 tempat bagi penjagaan diri di rumah.

Garis panduan baru ini telah dilakar dan akan disiapkan menjelang akhir tahun ini.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.