Tiada rancangan naikkan cukai kerana MediShield Hayat

Tiada rancangan naikkan cukai kerana MediShield Hayat

PEMERINTAH tidak merancang menaikkan cukai semata-mata untuk membiayai subsidi bagi MediShield Hayat, kata Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong.

Ini kerana pemerintah telah merancang belanjawan dengan mengambil kira subsidi lebih tinggi di bawah skim insurans nasional itu, yang bakal dilaksana tahun depan.

"Kami tidak merancang menaikkan cukai bagi tujuan membayar subsidi Medi- Shield ini. Sama ada cukai akan dinaikkan pada masa depan, ia bergantung pada perbelanjaan dan pendapatan pemerintah secara keseluruhannya," ujar Encik Gan.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan dua hari mengenai MediShield Hayat semalam.

Pemerintah telah mengumumkan sebelum ini akan membelanjakan $4 bilion sepanjang tempoh lima tahun bagi membantu warga Singapura membiayai kenaikan premium.

Semalam, Encik Gan turut menarik perhatian bahawa Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, telah pun menyatakan dalam Belanjawan tahun ini bahawa jumlah perbelanjaan bagi penjagaan kesihatan akan meningkat dengan ketara.

Pemerintah akan bekerjasama dengan penyedia khidmat jagaan kesihatan untuk mengawal kenaikan kos.

Encik Gan juga memperincikan bagaimana premium MediShield Hayat ditetapkan dan apa faktor bagi kenaikannya, untuk menjawab soalan Dr Lily Neo (GRC Tanjong Pagar) dan Cik Tin Pei Ling (GRC Marine Parade).

Beliau berkata premium MediShield Hayat berdasarkan prinsip dan pendekatan insurans mapan, dan jumlahnya ditetapkan sebuah syarikat runding cara aktuari yang melakukan kajian statistik.

Ini berdasarkan anggaran jumlah tuntutan yang mengambil kira perubahan demografi dan kos rawatan perubatan; rebat premium bagi pemegang polisi apabila mereka lanjut usia; dan peruntukan rizab, modal serta kos pentadbiran.

Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat mengeluarkan laporan penuh mereka bulan lalu. Ia antara lain menyarankan perlindungan insurans bagi semua rakyat seumur hidup mereka serta manfaat lebih luas, termasuk had tuntutan lebih tinggi.

Encik Gan berkata manfaat yang lebih luas itu antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan premium.

Selain itu, sebahagian kecil kenaikan premium digunakan untuk membiayai kos menyertakan semua warga Singapura, termasuk yang mempunyai penyakit sedia ada, dalam skim tersebut.

Bagaimanapun, pemerintah menanggung sebahagian besar kos tambahan itu.

Warga berpenyakit sedia ada pula membayar premium 30 peratus lebih tinggi, walaupun kenaikan itu sepatutnya lebih tinggi disebabkan risiko mereka yang lebih tinggi.

Encik Gan berkata jawatankuasa tersebut menyarankan kenaikan hanya 30 peratus bagi golongan itu agar ia tidak terlalu memberatkan.

Faktor ketiga yang mengakibatkan kenaikan premium ialah pembahagian premium secara lebih rata sepanjang hidup seseorang pemegang polisi.

Ini bermakna warga bekerja dapat membayar lebih semasa mereka bekerja agar premium mereka tidak naik lebih mendadak semasa tahun persaraan mereka.

Mengenai pelan perlindungan bersepadu (IP) yang ditawarkan syarikat swasta, Encik Gan berkata pemerintah akan menimbangkan saranan agar diperkukuh pengawalan tetapi akan juga berhati-hati agar tidak mengawal lebih daripada yang diperlukan kerana peraturan lebih ketat boleh membatas pilihan atau menaikkan premium.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.