Tidak bimbang lagi dibebani bil tinggi

Tidak bimbang lagi dibebani bil tinggi
Cik Kalsom Abdullah bersama suaminya, Encik Abdul Hamid.

CIK Kalsom Abdullah tidak mempunyai insurans kesihatan apabila beliau diserang barah buah dada sekitar tiga tahun lalu. Pada 2011 beliau menjalani empat pusingan kemoterapi dan terpaksa membayar sekitar $4,000 setiap pusingan.

Mujur beliau ada simpanan dalam akaun Medisave yang boleh digunakan bagi membiayai rawatan tersebut.

Namun, baki dalam Medisave Cik Kalsom, 57 tahun, semakin tipis.

Cik Kalsom bersyukur penyakit barah sudah tidak lagi dikesan dalam tubuhnya, tetapi beliau tetap bimbang kerana tidak mempunyai cukup wang jika diserang penyakit lagi.

Mentelah beliau tidak bekerja kerana menjaga suaminya, Encik Abdul Hamid Hussain, 72 tahun, yang menghidapi sakit ginjal.

Namun, mulai tahun depan Cik Kalsom akan dimasukkan secara automatik ke dalam skim insurans nasional baru MediShield Hayat, yang bertujuan melindungi warga Singapura daripada bil hospital yang tinggi.

"Secara berterus terang, dahulu saya kurang prihatin mengenai isu insurans kerana waktu itu saya lebih memikirkan hal suami saya yang sakit.

"Apabila terkena penyakit, baru saya sedar insurans itu penting," ujar Cik Kalsom yang mempunyai seorang anak lelaki.

Beliau kini lega akan disertakan dalam MediShield Hayat, yang dijangka dilaksanakan tahun depan.

MediShield Hayat bakal menggantikan skim insurans MediShield sekarang. Ia bertujuan digunakan bagi mengurangkan bil tinggi dalam wad kelas B2 danC dan bagi beberapa rawatan seperti dialisis dan barah.

Berbanding MediShield, Medi- Shield Hayat mempunyai manfaat yang diperluaskan yang bersifat universal dan sepanjang hayat.

MediShield tidak melindungi golongan yang mempunyai penyakit sedia ada dan hanya memberi perlindungan sehingga usia 90 tahun.

Di bawah MediShield Hayat, semua warga Singapura, termasuk yang berpenyakit, akan mendapat perlindungan insurans sepanjang hayat.

Pemerintah telah menerima saranan Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat, termasuk meniadakan had tuntutan atau jumlah yang boleh dituntut dalam seumur hidup, yang terdapat dalam MediShield.

Had itu akan ditiadakan apabila MediShield Hayat dilaksana agar orang ramai tidak perlu khuatir bahawa mereka tidak lagi dilindungi insurans setelah mencapai had tuntutan, yang sekarang ditetapkan pada $300,000.

Selain itu, pesakit boleh menuntut insurans lebih tinggi bagi pelbagai pembedahan dan rawatan, termasuk kemoterapi.

Sekarang, seorang pesakit barah boleh menuntut $1,240 bagi setiap pusingan 21 hari atau 28 hari rawatan kemoterapi.

Di bawah MediShield Hayat, pesakit boleh menuntut lebih tinggi - $3,000 setiap bulan.

Dengan manfaat yang diperluas itu, premium skim insurans tersebut akan naik.

Namun, kebanyakan orang akan membayar premium Medi- Shield Hayat menerusi akaun Medisave mereka dan tidak perlu menokoknya menggunakan wang sendiri.

Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, berkata baru-baru ini bahawa kenaikan sumbangan majikan kepada Medisave sebanyak 1 peratus cukup untuk menampung kenaikan premium bagi kebanyakan orang.

Selain itu, keluarga bergaji rendah dan pertengahan akan mendapat subsidi daripada pemerintah. Mereka yang benar-benar tidak dapat membayar pula akan dibantu pemerintah menerusi satu skim khas.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Medishield Life
Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.