Yaacob ajak masyarakat sumbang di peringkat nasional

Yaacob ajak masyarakat sumbang di peringkat nasional
RAI ULANG TAHUN SINGAPURA: Dr Yaacob Ibrahim (tiga dari kiri) dan Cik Halimah Yacob (berbaju hitam) menyertai tetamu acara sambutan Hari Kebangsaan anjuran Yayasan Mendaki seperti mantan Anggota Parlimen (AP) Encik Ibrahim Othman (kiri) dan Mejar Abbas Abu Amin (dua dari kiri) dalam peraduan membuat

MASYARAKAT Melayu/Islam Singapura harus fikirkan bagaimana mereka boleh menyumbang di peringkat negara pada masa akan datang, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

"Kita selalu dilihat sebagai satu masyarakat yang selalu menerima. Saya rasa masanya telah tiba bagi kita menyumbang dan ini kita boleh fikirkan bersama," ujar Dr Yaacob ketika ditemui di acara sambutan Hari Kebangsaan anjuran Yayasan Mendaki semalam.

Merujuk kepada sumbangan idea bagi menyambut ulang tahun Singapura yang ke-50 tahun depan, Dr Yaacob berkata banyak idea baik telah diketengahkan tentang bagaimana anggota masyarakat Melayu/Islam boleh menyumbang di peringkat negara.

"Saya sedang menilai apa yang telah diajukan beberapa badan Melayu dan individu tentang bagaimana kita sebagai satu masyarakat boleh menyambut ulang tahun Singapura yang ke-50," kata beliau yang akan mendedahkan lebih lanjut dalam amanat Hari Kebangsaannya Jumaat ini.

Acara sambutan Hari Kebangsaan bagi meraikan ulang tahun ke-49 Singapura tahun ini diadakan di Wisma Mendaki di Kee Sun Avenue dan disertai sekitar 100 kakitangan badan bantu diri itu serta tetamu lain termasuk salah seorang anggota pengasasnya, Mejar Abbas Abu Amin.

Turut hadir ialah Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob, bersama beberapa anggota Jawatankuasa Bersama Generasi Perintis (PGJC) yang diterajuinya.

Acara bermula dengan upacara menaikkan bendera, nyanyian lagu kebangsaan dan lafaz ikrar negara.

Tetamu dan kakitangan Mendaki kemudian beralih ke dewan untuk mengambil bahagian dalam peraduan membuat wau diikuti acara menyanyi bersama-sama sebelum menjamu selera.

Mejar Abbas ketika ditemui berkata beliau terharu diberi peluang mengambil bahagian dalam acara semalam.

"Apabila berdiri di lapangan, terkenang masa mula-mula kita merdeka dan melalui zaman yang agak susah. Tapi kesusahan itu menjadi gembira, dan kita nampak kemajuannya tahun demi tahun.

"Sungguhpun barangkali kita tidak sampai pada peringkat yang kita kehendaki kalau kita bandingkan dengan bangsa lain, tetapi kalau kita bandingkan kita dengan kita dulu, kita lebih maju sekarang," kata Mejar Abbas, 76 tahun.

Sementara itu, Cik Halimah berkata berita mengenai saranan tambahan bagi memperbaiki mutu kehidupan golongan perintis yang akan didedahkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos ini, sangat dialu- alukan.

"Dalam kita menyambut 49 tahun kelahiran Singapura, memang wajar kita mengadakan lebih banyak manfaat bagi golongan perintis kita," kata Cik Halimah.

Beliau berkata PGJC mempunyai rancangan mengiktiraf sumbangan perintis dan menyediakan wadah supaya pengalaman mereka dapat dikongsi.

Jawatankuasa bersama itu juga mahukan sokongan daripada seluruh masyarakat supaya mutu kehidupan golongan perintis menjadi lebih baik.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.