Yaacob: Rebut peluang kerjaya ICT

Yaacob: Rebut peluang kerjaya ICT

LEBIH ramai rakyat Singapura, termasuk golongan muda Melayu/Islam, diperlukan untuk tampil merebut peluang tersedia dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Ini sekali gus diharap dapat membantu dalam membawa kemajuan sehaluan dengan perkembangan negara, menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim.

Namun, walaupun sektor ICT kini sedang berkembang pesat dan dengan adanya inisiatif Negara Bijak, Dr Yaacob menegaskan bahawa masih terdapat kekurangan tenaga kerja dalam bidang itu.

"Jelas lebih banyak peluang pekerjaan akan muncul dalam bidang ini, dan kita juga mempunyai inisiatif Negara Bijak yang memerlukan bakat untuk membantu membawa negara ini terus maju.

"Ini merupakan salah satu masalah yang sedang kita lalui kerana menjelang 2020, kita menganggarkan terdapat sebanyak 30,000 pekerjaan yang akan disediakan, tetapi kita hanya mampu menghasilkan seramai 6,000 siswazah dan pakar dalam masa setahun.

"Oleh itu, kita perlu sedar dan merebut peluang yang tersedia dalam bidang yang sedang berkembang ini," kata Dr Yaacob, yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, ketika berucap dalam sesi perbincangan SGFuture di perpustakaan library@Orchard kelmarin.

Seramai 40 peserta merangkumi anggota masyarakat Melayu/Islam Singapura mengambil bahagian dalam sesi yang diberi tajuk 'Mendakapi Teknologi bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat'.

Ia anjuran bersama Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Penguasa Pembangunan Infokom (IDA) untuk mendapatkan idea dan pandangan selain mengetengahkan kepentingan ICT dalam kehidupan masa depan kepada masyarakat.

Melalui sesi itu, pihak penganjur juga berharap dapat menggalak masyarakat Melayu/Islam agar meraih manfaat daripada trend itu dan menyumbang kepada pembangunan negara serta bekerjasama mewujudkan masa depan lebih cerah bagi seluruh rakyat.

Sesi itu dihadiri peserta yang berusia antara 14 tahun dengan 50 tahun merangkumi pelajar, ibu bapa, guru sekolah tadika dan juga pekerja swasta.

Encik Mohd Shariff Abdullah, atau lebih dikenali dengan gelaran Singapore Blade Runner, melahirkan rasa teruja dan gembira kerana diundang mengambil bahagian dalam sesi itu.

"Saya memang rasa gembira apabila diundang menghadiri dan menyumbang pandangan dan idea saya dalam sesi ini.

"Ia adalah sesuatu yang sering saya nantikan dan saya rasa ini adalah peluang baik buat kita sebagai masyarakat Melayu dan juga rakyat Singapura untuk bersama dalam membantu usaha membina sebuah negara bijak bagi masa depan kita," ujar Encik Mohd Shariff.


This article was first published on March 10, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.