Yaacob temui Menteri Haji Saudi, bincang perihal jemaah setempat

Yaacob temui Menteri Haji Saudi, bincang perihal jemaah setempat

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, telah menemui Menteri Haji, Dr Bandar Bin Mohammed Hajjar, di Jeddah, Arab Saudi, semalam bagi membincangkan perihal jemaah haji Singapura.

Dalam mesyuarat itu, dua pemimpin itu telah membincangkan tentang aturan bagi jemaah Singapura yang bakal menunaikan haji pada Ogos ini serta isu operasi lain bagi Singapura sempena musim haji yang akan tiba.

Menulis di Facebooknya semalam, Dr Yaacob berkata beliau telah melahirkan penghargaannya atas perkhidmatan yang dihulurkan agensi haji Arab Saudi kepada jemaah Singapura bagi musim haji yang lalu.

Beliau turut memuji kemajuan kerja pembesaran dan pembangunan semula Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

"Pembaikan sejauh ini telah membantu jemaah kita dengan baik," kata beliau.

Dr Yaacob, yang menerajui delegasi Singapura bagi Mesyuarat Menteri Haji tahunan itu, ditemani Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Abdul Razak Maricar, serta pegawai lain.

Di samping itu, Dr Yaacob telah menyampaikan surat Perdana Menteri Lee Hsien Loong kepada Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud semasa mesyuarat itu.

Surat itu memohon agar kuota haji rasmi bagi Singapura dapat disemak untuk menambah bilangan jemaah haji daripada 680 kepada 800 orang setiap tahun, serta tambahan 200 tempat lagi agar 1,000 jemaah dapat menunaikan haji tahun ini.

Dr Yaacob berkata pihaknya telah memberi jaminan bahawa Singapura sanggup mematuhi semua keperluan bagi jemaah tambahan dan akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka.

"Dek penduduk Islam yang bertambah di Singapura, jumlah tempat tambahan itu akan membantu memenuhi permintaan dan aspirasi rakyat Singapura Islam dalam memenuhi kewajipan agama kita," kata beliau di Facebook.


This article was first published on Feb 12, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

[[nid:50572]]
This website is best viewed using the latest versions of web browsers.