Apakah sumbangan jubli emas SG kita?

Apakah sumbangan jubli emas SG kita?

SUDAHKAH anda bersiap sedia menyambut 50 tahun kemerdekaan negara?

Secara rasmi, sejumlah kegiatan dalam rangka sambutan kemerdekaan Singapura sudah pun diaturkan untuk tahun depan.

Menyusuri laman SG50 - Jawatankuasa Sambutan Singapura 50 tahun yang dipengerusikan Menteri Pendidikan Encik Heng Swee Keat - terpapar ribuan saranan. Difahamkan sejumlah penulis, misalnya, sedang melakar kisah mengenai Singapura, termasuk Cik Zuraidah Ibrahim, timbalan editor akhbar The Straits Times, yang dilaporkan menulis perihal siasah pembangkang di watan ini.

Sambutan watan memang boleh dilakukan pelbagai acara: kegiatan sukan, kesenian, perarakan tentera dan persenjataan (sering berlaku di negara komunis dahulu) sehingga berbentuk tulisan, karya seni dan sebagainya.

SG50 memancarkan cogan kata bahawa titik merah kecil di Khatulistiwa ini boleh dan mampu mengadakan sambutan gah. Ini semacam seruan dalam Lagu Kebangsaan kita, Majulah Singapura. Terpulanglah pada kita untuk mengotakannya.

Bagaimana pula dengan pertubuhan Melayu? Saya difahamkan ada dua projek daripada badan Melayu yang bersifat tulisan dalam rangka sambutan watan dan menjurus pada sejarah - merakam peristiwa dan mengulasnya.

Satu daripadanya diketuai Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, Timbalan Ketua Kumpulan Akademik Budaya dan Bahasa, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Univesiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau memimpin sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk di bawah Majlis Bahasa Melayu Singapura bagi merakam dan mengupas perkembangan persuratan Melayu di negara ini sejak 1965.

Apabila menyebut persuratan Melayu, Singapura memang berperanan istimewa.

Menurut Dr Hadijah dalam satu pertemuan di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang akhir tahun lalu, beliau pernah bersua dengan Profesor Teuku Iskandar (ketua penyusun Kamus Dewan pertama, 1924-2012) yang menceritakan peranan Singapura dalam abad silam (abad ke-12 sehingga ke-13 Masihi) sebagai sebuah tamadun tinggi.

Dapatan Profesor Teuku Iskandar sejajar dengan tanggapan Dr John Miksic daripada Jabatan Sejarah, Universiti Nasional Singapura (NUS), yang telah menggali sebahagian warisan Singapura, termasuk di kawasan Istana Kampung Gelam, Bukit Larangan (Fort Canning) dan Padang.

Dr Miksic membuat kesimpulan tegas bahawa Singapura mempunyai sejarah silam gemilang dalam 2,000 tahun sebagai antara kota pelabuhan dalam laluan laut perdagangan Jalan Sutera. Banyak peninggalan sejarah watan ini perlu digali lagi.

Sayangnya, kita hanya mengenali Singapura selepas dibuka semula oleh Thomas Stamford Raffles, yang sebenarnya seorang strategis yang menggarap maksud Sejarah Melayu yang menceritakan perihal pulau ini.

Yang pasti antara 1830-an sehingga 1960, Singapura ialah pusat cendekiawan, penerbitan dan hiburan bagi Dunia Melayu. Hal ini telah luas diperkatakan.

Tetapi apabila Singapura bakal merdeka pada 1965, negara pulau ini tidak lagi menjadi pusat di Dunia Melayu.

Dari segi persuratan Melayu misalnya, banyak sasterawan asal Semenanjung Tanah Melayu meninggalkan Singapura. Bahkan industri muzik dan filem Melayu beralih dari sini ke Kuala Lumpur. Namun, suasana tandus ini (disebut oleh usahawan seni Donald Moore sebagai 'cultural desert') tidaklah berpanjangan.

Setelah ekonominya mantap, Singapura terus berperanan penting membina jati diri sebagai Kota Kebangkitan Seni di Tropika. Malah idea-idea bermutu Singapura dari segi kepemerintahan sehingga menjadi pusat kewangan telah menyelamatkan masa depannya.

Dari segi persuratan juga, peranan Angkatan Sasterawan '50 dan badan seni seperti Perkumpulan Seni, Sriwana, 4PM dan lain-lain telah menyuburkan semula taman pengaryaan. Di sinilah peri penting projek rakaman, kajian dan pencerapan jawatankuasa pimpinan Dr Hadijah.

Satu lagi projek penting merupakan idea mantan Anggota Parlimen Haji Wan Hussin Zoohri. Dengan menggabungkan tenaga sembilan pertubuhan, beliau menampilkan projek mengkaji gerakan gotong-royong badan Melayu/Islam (termasuk India dan Arab).

Menurut beliau, projek ini sudah mendapat kelulusan geran $50,000 daripada SG50. Namun, biaya ini masih jauh daripada mencukupi kerana keseluruhan kos dianggarkan sekurang-kurangnya $120,000.

Tetapi cukupkah dua projek besar ini?

Bagaimana dengan usaha menyatukan seluruh gerakan kumpulan tari Melayu untuk menampilkan taridra gah mengenai Singapura?

Atau dorongkan semua gerakan kumpulan teater Melayu bagi memaparkan sebuah drama mengenai perjuangan sebuah watan kecil?

Bahkan satu-satunya badan seni tampak Melayu/Islam, Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD), juga boleh mengadakan pameran khas sempena sambutan penting ini.

Saya teringat ketika terlibat dalam dua Pesta Budaya Melayu (1983 dan 1985) anjuran Majlis Pusat. Ia berisi pameran artifak yang diadakan di dahulunya Muzium Negara, pementasan drama dan acara sukan tradisional laut dan darat di kawasan East Coast. Memang cukup meriah ketika itu.

Ketika Pesta Budaya Melayu dirintis pada 1983, terdapat permintaan agar diadakan sukan lumba kolek dan sebagainya secara besar-besaran, sebagaimana pernah diadakan di Kampung Siglap pada 1960-an atau sehebat zaman Singapura dijajah British sebelum Perang Dunia Kedua.

Terdapat juga cadangan agar buku Aktivis Melayu/Islam Singapura tulisan Allahyarham Haji Abdul Ghani Hamid dan Haji Sulaiman Jeem 'diberikan nafas baharu' - disunting dan diterbitkan semula, termasuk dalam bentuk elektronik di Internet. Maklumlah banyak tokoh dalam buku ini yang tidak diketahui generasi Melayu hari ini.

Banyak lagi daya kreatif boleh dicerna - daripada minuman atau juadah seperti acara kenduri besar untuk menjamu warga tua sehingga anak yatim, rekaan busana sehingga ciptaan saintifik seperti peralatan mesra alam yang boleh digunakan baik di sini mahupun untuk keperluan dunia.

Sedang saya menulis makalah ini, masa semakin suntuk menjelang detik bersejarah sambutan jubli emas negara ini.

Semoga lebih ramai orang, kumpulan atau pertubuhan Melayu bangkit menyambutnya sebagai tanda kesyukuran dan kehadiran kita.

raman@sph.com.sg

 

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.