Bahasa ibunda antara saluran penting dan jelas dekati masyarakat

Bahasa ibunda antara saluran penting dan jelas dekati masyarakat

TERDAPAT keperluan penting menyeragamkan dan mempertingkat piawaian terjemahan khususnya dalam pemerintah.

Ini kerana sedang pemerintah memperkenalkan pelbagai dasar baru terdapat keperluan yang "sedang meningkat" untuk mendekati masyarakat dalam bahasa ibunda dan menerangkan skim serta dasar pemerintah yang boleh dimanfaat rakyat.

Demikian pandangan beberapa pemimpin dan wakil industri media tentang usaha mempertingkat piawaian penterjemahan di sini.

Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad, memerhatikan pemerintah sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mempertingkat pelaburan dalam skim dan dasar sosial untuk manfaat rakyat.

Dalam memperkenalkan skim dan dasar tersebut pemerintah juga memerlukan kepakaran untuk menterjemahkan mesej agar ia mudah difahami rakyat.

"Kita lihat misalnya pada tahun lalu pemerintah memperkenalkan Pakej Generasi Perintis dan ia juga menubuhkan sebuah jawatankuasa khusus untuk menerangkan pakej berkenaan kepada rakyat khususnya warga tua.

"Dalam pada itu terdapat juga keperluan menerbitkan poster, risalah dan bahan-bahan penerbitan lain dalam bahasa ibunda seperti Melayu, Mandarin dan Tamil, untuk meningkatkan kesedaran tentang dasar pemerintah" kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen bagi Kementerian Perhubungan dan Penerangan.

Kesemua itu bermakna jumlah tugas akan meningkat dan terdapat keperluan untuk menyeragamkan penterjemahan istilah yang berhubung kait dengan dasar pemerintah.

Pada Mac tahun lalu, Kementerian Perhubungan dan Penerangan telah membentuk Jawatankuasa Penterjemahan Nasional untuk mempertingkat keupayaan penterjemahan seluruh pemerintah.

Jawatankuasa 25 anggota itu diketuai oleh Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan merangkap Pendidikan Cik Sim Ann. Selain mendekati rakyat menerusi media tradisional Encik Zaqy berkata terdapat juga keperluan mendekati rakyat menerusi media sosial dan video dalam bahasa ibunda.

Melihatkan terdapat peningkatan dalam khidmat penterjemahan yang diperlukan, Encik Zaqy berkata terdapat juga keperluan dalam usaha mengurangkan kesilapan dan mempertingkat piawaian terjemahan.

Bersetuju dengan pendapat itu ialah Pengarah Urusan Screenbox, Encik Sujimy Mohamad.

Firma beliau, yang antara lain menawarkan khidmat penterjemahan, mendapati terdapat peningkatan dalam permintaan bagi khidmat penterjemahan.

"Berbanding lima tahun lalu, kami perhatikan terdapat peningkatan 50 peratus dalam khidmat penterjemahan yang diperlukan sektor swasta dan 30 peratus peningkatan dalam tugas yang ditawarkan pemerintah," kata beliau.

Pengamat industri media Encik Azwar Ghazali pula berkata penterjemahan bukan sekadar menterjemakan perkataan bahkan merangkumi pilihan perkataan yang sesuai dengan konteks dan mempermudah masyarakat memahami mesejnya.


This article was first published on March 17, 2015.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.