Banyak manfaat apabila khidmat sosial dibawa dekat kepada masyarakat

Banyak manfaat apabila khidmat sosial dibawa dekat kepada masyarakat

SETELAH sekian lama bergelut dengan masalah kewangan, Cik Sapiah Salleh akhirnya menerima bantuan dalam bentuk zakat daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) setelah dirujuk kepada Masjid Al-Muttaqin awal tahun ini.

Namun, melebihi bantuan zakat, pada masa yang sama ibu tunggal yang mempunyai tiga anak berusia antara 14 dengan 20 tahun itu juga mendapat bantuan pendidikan bagi anak-anaknya.

Ini setelah kes Cik Sapiah, 43 tahun, dibawa kepada perhatian pusat Nadi Khidmat yang terletak di masjid tersebut. Pusat itu merupakan usaha sama antara Yayasan Mendaki dan Muis dan bertujuan membawa khidmat sosial lebih dekat kepada masyarakat Melayu/Islam yang tinggal di sesebuah kawasan kejiranan.

Ia juga sebagai menyahut saranan laporan Suara Musyawarah agar diadakan lebih banyak kerjasama antara pertubuhan Melayu/Islam setempat dalam usaha mendekati masyarakat.

Antara bantuan pendidikan yang diterima anak-anak Cik Sapiah ialah peluang memanfaatkan Homework Cafe di Masjid Al-Muttaqin dua kali seminggu.

Homework Cafe adalah kemudahan yang disediakan bagi anak-anak penerima bantuan Nadi Khidmat yang masih di sekolah rendah dan menengah.

Di situ mereka boleh melakukan kerja-kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran dalam subjek Inggeris dan Matematik sambil dibimbing seorang guru terlatih dan pembantu guru.

Sebagai khidmat tambah nilai, kanak-kanak yang menyertai Homework Cafe juga mengikuti programme agama ringkas pada akhir sesi dua setengah jam.

"Alhamdulillah, saya gembira sekali dengan bantuan pendidikan untuk anak-anak," kata Cik Sapiah, yang berpisah dengan suaminya sekitar dua tahun lalu.

"Sebab bagi saya yang paling penting ialah pendidikan. Biarlah mereka berjaya dan mempunyai masa depan yang lebih cerah. Kalau tidak ada Nadi Khidmat, saya tidak tahu ke mana hendak pergi untuk mendapatkan bantuan sekolah anak-anak," tambahnya, yang baru mula bekerja sebagai penjaga bangunan dengan gaji sekitar $900.

Mendekati golongan seperti Cik Sapiah itu adalah tujuan Nadi Khidmat ditubuhkan, kata pegawai penjagaan masyarakat pusat itu, Cik Nurhanan A. Rahim.

Menurutnya, dengan mengadakan pusat itu di masjid, Mendaki berharap lebih ramai anggota masyarakat dapat menyertai programme sosial dan pendidikannya, termasuk programme bantuan awal atau upstream, programme memperkasa golongan berpendapatan rendah dan programme pembangunan belia.

Pusat itu juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi pemerintah untuk menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh bagi penerima bantuannya.

Nadi Khidmat telah dimulakan di dua buah masjid - Al-Istighfar dan An-Nur - Mac lalu. Ia kini dikembangkan kepada empat lagi masjid - Al-Muttaqin, Assyakirin, Jamiyah Ar-Rabitah dan Al-Ansar.

Satu majlis bagi menandakan perkembangan programme tersebut telah diadakan semalam di Masjid Assyakirin. Ia dihadiri tetamu terhormat, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Sementara itu, menerangkan lebih lanjut, pegawai eksekutif Program dan Pentadbiran Kelompok Masjid Tengah Utara, Cik Siti Nuraini Asmuri, berkata setiap penduduk yang datang ke masjid untuk mendapatkan bantuan akan ditangani pegawai khidmat sosial masjid.

Setelah meneliti keperluan penduduk itu dan mengenal pasti bidang-bidang bantuan yang boleh dihulurkan Mendaki dan agensi-agensi nasional lain, pegawai tersebut akan merujukkan kes itu kepada Nadi Khidmat.

"Dengan adanya Nadi Khidmat, bantuan yang dihulurkan lebih bersepadu dan lebih menyeluruh," ujarnya.

Di samping itu para pegawai Nadi Khidmat bersama kakitangan masjid juga melakukan lawatan rumah-ke-rumah secara bersama untuk memastikan setiap penduduk yang memerlukan bantuan menerimanya.

Di Masjid Al-Muttaqin contohnya, Cik Nurhanan dan Cik Siti Nuraini serta teman-teman sekerja telah pun selesai melawat hampir semua flat sewa di kawasan Ang Mo Kio.

Menurut Cik Nurhanan, lokasi mereka di kejiranan memudahkan Mendaki mendekati masyarakat yang memerlukan bantuan pendidikan dan sosial.

Dalam salah satu lawatan tersebut pasukan Nadi Khidmat itu bertemu Cik Farah, 42 tahun.

Beliau, yang tidak bekerja, mempunyai tujuh orang anak termasuk dua anak istimewa. Suaminya pula tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana menderita pelbagai penyakit sejak lebih dua tahun lalu.

Menurut Cik Farah, yang enggan nama penuhnya disiarkan, beliau telah beberapa kali berura- ura ke Mendaki.

Namun, lokasi pertubuhan itu yang jauh di Kee Sun Avenue dekat kawasan Siglap, sering menjadi hambatan.

"Dengan adanya pusat Mendaki di masjid, lebih dekat dan mudah untuk orang macam saya. Apa-apa bantuan yang saya perlukan saya hanya perlu ke masjid sahaja," ujarnya, yang kini menerima bantuan pendidikan untuk dua orang anaknya dan akan cuba dipadankan dengan pekerjaan sambilan yang sesuai menerusi Mendaki Sense.

Nadi Khidmat

- Kolaborasi Yayasan Mendaki dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta enam buah masjid.

- Memanfaatkan masjid sebagai hab kegiatan masyarakat Islam, inisiatif ini membawa khidmat sosial lebih dekat kepada masyarakat.

- Membolehkan program pendidikan, program memperkasa golongan berpendapatan rendah dan program pembangunan belia Mendaki dimanfaatkan lebih ramai anggota masyarakat.

- Membuka inisiatif Muis seperti bimbingan kewangan dan program-program agama yang disediakan kepada para penerima zakat kepada lebih ramai orang.

- Nadi Khidmat juga bekerjasama dengan agensi-agensi nasional untuk sediakan bantuan menyeluruh.

- Pusat Nadi Khidmat tersedia di enam buah masjid - Al-Istighfar, An-Nur, Assyakirin, Al-Muttaqin, Jamiyah Ar-Rabitah dan Al-Ansar.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.