Lihat faedah MediShield Hayat

Pengerusi Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat, Encik Bobby Chin, yang mana anggotanya membentangkan saranan skim yang berupaya memberi perlindungan kepda golongan berpenyakit kronik dan dimampui semua warga.

Ibarat permainan jongkang-jongket.

Itulah perumpamaan yang diberi Pengerusi Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat, Encik Bobby Chin, ketika memberi perincian proses yang dilalui beliau dan 10 anggota jawatankuasanya.

Ketika ditemui di Kementerian Kesihatan (MOH) baru-baru ini, Encik Chin menerangkan bahawa jawatankuasa dengan anggota daripada pelbagai bidang itu seperti kewangan, guaman, hospital, pergerakan buruh dan akar umbi, memulakan langkah dengan memberi tumpuan pada faedah bagi skim insurans nasional itu.

Menyifatkan ia umpama membina blok bangunan, Encik Chin berkata: "Kami melihat apakah faedah yang perlu kami ubah. Ini kerana setiap faedah bakal memberi kesan ke atas premium.

"Apakah kami mahu memberi perlindungan bagi sembilan daripada 10 warga Singapura dalam mereka menangani bil mereka? Dengan satu faedah ini, apakah premiumnya? Faedah seterusnya dan premiumnya juga. Kami teliti satu persatu.

"Kami perlu mencari keseimbangan, baik dacing atau permainan jongkang-jongket. Kami letak faedah tambahan di sini, yang sana (premium) akan meningkat. Kurangkan faedah di sini, premium akan ikut turun. Jadi apakah kadar tepat?

"Akhirnya, kami perlu melihat kesemua faedah dan itulah yang menjadi premiumnya. Kemudian, apakah kadar premium itu munasabah bagi warga Singapura? Ini bermakna ia harus berada dalam kemampuan, mengambil kira subsidi pemerintah serta Medisave."

Menurut seorang anggota jawatankuasa semakan itu, Encik Abdul Rohim Sarip, berdasarkan perbincangan kumpulan fokus melibatkan lebih 20 anggota masyarakat Melayu, beberapa isu utama diketengahkan.

Ia termasuk kos perubatan yang kian meningkat, bayaran tunai yang didahulukan dan isu berhubung golongan tidak bekerja, pekerja kontrak serta warga yang tidak mempunyai Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Maklum balas itu ditimbangkan dalam membentuk saranan bagi MediShield Hayat, kata Encik Abdul Rohim, peguam bersama firma guaman A Rohim Noor Lila & Partners.

MediShield Hayat, yang bakal dilaksana akhir tahun depan, menyertakan semua warga Singapura, termasuk yang mempunyai penyakit sedia ada, dengan tujuan membantu mereka menampung sepanjang hayat kos perubatan.

Ia memberi perlindungan bagi bil hospital di wad kelas B2 dan C.

Warga umumnya boleh menjangka premium $5 hingga $104 sebulan bagi skim insurans itu, dan boleh membayarnya menggunakan Medisave.

Bagi golongan berpendapatan rendah dan pertengahan, pemerintah memperuntuk $4 bilion sepanjang lima tahun bagi subsidi membantu mereka membayar premium itu.

Kadar premium MediShield berbeza bagi setiap kumpulan umur tetapi semua warga dalam sesebuah kumpulan umur membayar kadar yang sama.

"Tidak ada sebarang subsidi bersilang antara kumpulan umur berbeza. Setiap kumpulan umur akan membayar premium berdasarkan kohort usia yang sama," ujar Encik Chin, bekas pengarah urusan firma perakaunan antarabangsa KPMG Singapura.

Ini bermakna, umpamanya, premium sebelum subsidi sebanyak $26 sebulan bagi generasi muda berusia antara 31 dengan 40 tahun tidak bergantung pada paras kesihatan dan tuntutan warga berumur antara 61 dengan 65 tahun.

Sebaliknya, ia akan ditentukan 'kelakonan' kumpulan usia mereka. Jika kumpulan itu lebih sihat dan tidak membuat banyak tuntutan besar, semua anggota kumpulan usia itu boleh menjangka premium lebih rendah.

"Tugas menetapkan premium bagi setiap kumpulan umur dimainkan oleh aktuari profesional dan bebas. Mereka akan meneliti data sejarah tuntutan insurans, berapa banyak tuntutan daripada kumpulan usia tertentu, keperluan modal dan jenisnya, keperluan rizab, peruntukkan bagi tuntutan insurans besar menyusuli malapetaka besar yang tidak dijangka, inflasi perubatan yang biasanya lebih besar daripada inflasi umum," jelas Encik Chin.

Mengenai kejayaan jawatankuasanya membentangkan saranan skim insurans yang berupaya memberi perlindungan kepada golongan berpenyakit kronik, beliau berkata pendekatan sama digunakan iaitu melihat sejarah kos perubatan golongan sedemikian, misalnya pesakit barah dan ginjal.

"Dengan inflasi perubatan dan kadar subsidi sebegini, apakah had tuntutan mencukupi? Jika tidak, ia harus dinaikkan bagi memastikan sebahagian besar atau 90 peratus warga Singapura dapat dilindungi," kata Encik Chin.

Jawapan beliau kepada warga yang menyoalkan kadar premium MediShield Hayat dan menyatakan ia lebih tinggi daripada skim MediShield yang ada sekarang ialah: "Dengan kadar itu, faedah yang bakal anda dapat ialah A, B, C, D, E, F, G, H, I, J... begitu banyak faedah tambahan yang boleh diraih (berbanding MediShield).

"Oleh itu, peratusan kenaikan kadar premium MediShield Hayat daripada MediShield tidak seharusnya menjadi tumpuan utama.

Sebaliknya, jumlah atau kadar premium yang perlu dibayar yang harus menjadi tumpuan.

"Kemudian, lihatlah MediShield Hayat secara menyeluruh, berdasarkan faedah tambahan yang boleh anda nikmati daripadanya."

Melayu perlu tingkat fahaman mengenai skim

Masyarakat Melayu harus menimbang mengadakan lebih banyak dialogue sesama sendiri dengan melibatkan wakil pemerintah bagi membincangkan tentang skim insurans nasional, MediShield Hayat, dan cara mereka boleh meraih manfaat daripadanya.

Mereka harus juga membincangkan dengan adanya MediShield Hayat, apakah perlu pelan perlindungan bersepadu (IP), yang dibeli 60 peratus warga Singapura, termasuk yang berpendapatan rendah.

Usaha itu perlu bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang Melayu yang masih samar-samar mengenai insurans kesihatan, kata pengerusi Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat, Encik Bobby Chin.

"Di samping membincangkan tentang perlunya mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan dan senaman, saya berpendapat amat baik jika dialogue melibatkan masyarakat Melayu dapat turut menerapkan tentang IP, yang ditawarkan syarikat swasta, contohnya.

"Berdasarkan perbincangan kumpulan fokus, kami mendapati ramai masih belum sedar tentang insurans kesihatan. Jika mereka tahu mengenainya sekalipun, rata-rata mereka tidak begitu faham tentang perinciannya," kata beliau.

Menurut Encik Chin, sebahagian warga berpendapatan rendah membeli IP meskipun premiumnya tinggi.

"Jika anda masih muda, okay. Jika memang anda mampu, okay seandainya anda mahu. Isu utamanya ialah apakah anda mampu bukan sekarang sahaja, malah sehingga anda tua. Ini kerana premiumnya akan terus meningkat dengan pertambahan usia," ujarnya.

Beliau menambah bahawa tanpa IP, warga Singapura masih mempunyai MediShield Hayat seumur hidup, dan pemerintah memberi banyak subsidi, khususnya bagi yang berpendapatan rendah. Tidak ada warga Singapura yang akan terkecuali daripada MediShield Hayat hanya kerana mereka tidak punya wang.

"Ini bagi saya satu penyataan besar hasrat pemerintah membantu golongan miskin," ujar Encik Chin.

Beliau melahirkan keprihatinan tentang golongan berpendapatan rendah membeli IP demi mendapatkan perlindungan insurans tambahan, misalnya bagi rawatan di wad kelas A dan hospital privet.

Soal kemampuan harus menjadi pertimbangan utama, kata Encik Chin.

"Jika saya hanya mampu membeli kereta Hyundai, saya boleh membelinya untuk bergerak. Tetapi apakah perlu membeli kereta BMW 7 siri pada harga lima kali ganda lebih tinggi? Kita harus ukur baju pada badan sendiri," nasihatnya.

Pada masa yang sama, beliau berharap masyarakat Melayu berusaha kekal sihat agar tidak perlu dimasukkan ke hospital.

"Usah kerana ada insurans kesihatan, mereka ingin meraihnya. Tetapi jika memang ia diperlukan, mereka patut tahu MediShield Hayat akan melindungi mereka dan memberi mereka ketenangan fikiran," ujar beliau.