Lindung masyarakat dari ancaman ekstrem

Lindung masyarakat dari ancaman ekstrem

MASYARAKAT Muslim setempat bakal mengusahakan beberapa inisiatif baru untuk melindungi anggotanya daripada ancaman ideologi ekstrem yang mungkin timbul daripada konflik di Syria.

Antara inisiatif itu termasuk programme kesejahteraan siber dan meningkatkan kesedaran menerusi wadah tradisional seperti khutbah dan kelas agama di masjid.

Pada masa yang sama, masyarakat Islam juga akan berganding bahu dengan masyarakat bukan Islam untuk memastikan krisis di Syria tidak menjejas keharmonian kaum dan keamanan di negara ini.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata tumpuan kepada Internet itu perlu memandangkan ia mencetuskan cabaran yang lebih besar dalam konflik di Syria berbanding masalah Jemaah Islamiyah (JI) yang dihadapi masyarakat Islam setempat sebelum ini.

Beliau, yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan, menambah akhbar Berita Harian (BH) juga akan memainkan peranan dengan memberikan pemahaman sebenar mengenai konflik di Syria menerusi penulisannya.

"Kami mahu melaksanakan programme ini supaya kami dapat mendekati golongan muda agar mereka memahami bagaimana mengemudi Internet kerana kita tidak boleh menghalang penggunaan Internet, tetapi kita boleh melengkapi golongan muda dengan kemahiran yang dapat membantu mereka dalam penggunaan Internet.

"Ini bukan sesuatu yang baru kerana sudah ada projek sedemikian yang dikendalikan MDA (Penguasa Pembangunan Media).

"Kami akan belajar daripada mereka bagaimana hendak melaksanakan programme yang sama di madrasah dan di masjid supaya golongan muda kita faham bila mereka ke Internet dan menemui laman-laman yang tidak baik, bagaimanakah mereka harus menanganinya," ujar beliau.

Dr Yaacob berkongsi rancangan masyarakat Muslim itu semasa bertemu media di akhir dialogue tertutup mengenai konflik di Syria dan kesannya kepada Singapura yang dihadiri sekitar 60 pemimpin berbilang agama dan masyarakat.

Dialog itu diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis (SPOM) sempena majlis iftar yang dihos Dr Yaacob dan Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean.

Sementara itu, mengulas mengenai dialogue tersebut, Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata ia merupakan perbincangan yang bermanfaat bagi pemimpin masyarakat berbilang agama setempat dan meningkatkan pemahaman mereka mengenai krisis di Syria.

Sehubungan dengan krisis tersebut, beliau berkata pemerintah mempunyai dua keprihatinan - pertama berhubung keselamatan dan kedua ialah soal keharmonian sosial.

"Kami mahu pastikan kita semua di Singapura faham bahawa meskipun ada individu yang radikal atau bersikap ekstrem, namun di Singapura semua masyarakat kita percaya dan menghargai keselamatan dan keharmonian," ujar beliau.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.