Masagos: Tiga keprihatinan terhadap dadah

Masagos: Tiga keprihatinan terhadap dadah

SEDANG masalah dadah di sini umumnya kian terkawal, tiga perkembangan terkini menjadi keprihatinan pemerintah, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Keprihatinan utama adalah jumlah rampasan dadah yang tidak berkurangan dengan Singapura dijadikan pusat persinggahan bagi dadah yang kemudian dikirimkan ke negara-negara lain.

Kedua pula berhubung trend penggunaan bahan psikoaktif baru (NPS) - dadah yang diubah suai secara kimia - dan terakhir adalah penyalahgunaan ganja.

Ketiga-tiga keprihatinan tersebut kini ditangani menerusi pelbagai usaha yang menggunakan pendekatan seluruh pemerintah di samping kerjasama masyarakat.

Pihak Biro Narkotik Pusat (CNB) juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi dadah serantau dalam perkongsian maklumat risikan.

Encik Masagos berkongsi keprihatinan dan langkah-langkah yang diambil pemerintah itu dalam wawancara dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Wawancara tersebut diadakan menjelang Mesyuarat Menteri ASEAN mengenai Dadah bulan depan.

Encik Masagos, yang dijadualkan menghadiri mesyuarat di Jakarta, Indonesia, itu turut berkongsi keprihatinannya mengenai sikap belia setempat yang semakin liberal terhadap dadah.

"Ada yang memiliki sikap bahawa mereka boleh berhenti (mengambil jenis-jenis dadah tertentu) dengan mudah. Sikap ini ekoran pengaruh media dalam talian dan teman- teman, yang juga membekalkan dadah itu kepada mereka," ujar beliau, merujuk kepada dadah NPS dan ganja.

Dalam pada itu, menyentuh isu dadah dan masyarakat Melayu, beliau berkata jika dibandingkan 10 tahun lalu, jumlah pesalah dadah ditangkap merosot sekitar separuh. Sebahagian besar daripada mereka itu juga merupakan pesalah baru yang menyalahgunakan ganja.

Encik Masagos menekankan walaupun penyalahgunaan ganja merupakan satu keprihatinan yang kian meningkat dalam kalangan pesalah dadah Melayu, pada masa yang sama dadah jenis methamphetamin juga menimbulkan kebimbangan kerana dadah itu adalah yang paling disalah guna pesalah muda Melayu.

Beliau juga mendedahkan bahawa penglibatan anggota masyarakat Melayu dalam programme pemulihan pesalah dadah telah meningkat sejak 2008.

Daripada satu relawan Melayu/Islam bagi setiap 113 pesalah, kini nisbahnya ialah satu relawan bagi 21 pesalah.

Ini mencerminkan komitmen masyarakat Melayu untuk membantu menangani masalah dadah kerana mereka yakin memerangi gejala dadah adalah satu usaha jangka panjang.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.