MBMS mahu dekati umum guna media social

MBMS mahu dekati umum guna media social

MENGHUBUNGKAN masyarakat kepada pelbagai kegiatan bahasa Melayu di Singapura menerusi wadah media sosial - itulah antara strategi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu di sini.

Pengerusi baru MBMS, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata demikian semasa membentangkan hala tuju majlis itu memandang ke hadapan.

"MBMS percaya bahawa dengan perkongsian maklumat secara lebih kerap di pelbagai wadah, peserta akan dapat menghubungi penganjur kegiatan dengan lebih baik.

"MBMS akan menguar-uarkan kegiatan mingguan yang berlaku di Singapura melalui pelbagai platform seperti Facebook, Instagram dan laman MBMS," katanya.

Dr Faishal mengambil alih jawatan itu daripada Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang memegang jawatan pengerusi sejak 2012, lewat tahun lalu. Beliau turut mendedahkan strategi selanjutnya bagi MBMS yang merangkumi empat teras iaitu memangkin, menghubung, memperkukuh dan memperdalam.

Menjelaskan strategi itu, beliau berkata MBMS akan menjadi pemangkin kegiatan bahasa, sastera dan budaya di Singapura, dengan kerjasama badan Melayu, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Taman Warisan Melayu dan agensi pemerintah.

Tambahnya, MBMS akan mengenal pasti kegiatan utama yang dijalankan badan itu setiap tahun, seperti Bahas 4PM dan Pesta Budaya, agar dapat memberi lebih banyak sokongan supaya masyarakat umum lebih menyedari kehadiran.

Selain itu, MBMS akan memperkukuh usaha mengenal pasti aktivis muda yang dapat menjadi pelapis pergerakan bahasa, sastera dan budaya Melayu pada masa depan.

Menyentuh tentang kegiatan bagi peserta yang mempunyai keperluan khusus, Dr Faishal berkata MBMS akan mempertingkat kegiatan sedemikian demi menyediakan wadah bagi mereka yang mahu memperdalam dan meningkatkan pengetahuan.

"MBMS berharap dengan usaha berterusan, masyarakat penutur bahasa Melayu di Singapura akan selesa menggunakan bahasa Melayu.

"Ini boleh menghubungkan kita dengan warisan bahasa dan budaya Melayu kita," kata Dr Faishal.


This article was first published on March 7, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.