Melayu semakin amal gaya hidup sihat

Melayu semakin amal gaya hidup sihat

MASYARAKAT Melayu kini lebih sedar peri pentingnya menjaga kesihatan dan mengubah gaya hidup.

Meskipun masih dibelenggu pelbagai masalah kesihatan, proses perubahan ke arah kehidupan lebih sihat sudah mula kelihatan dalam kalangan mereka.

Mereka tampak kian prihatin mengenai diet dan senaman serta tahu penyakit yang menjadi antara punca utama kematian di Singapura. Demikian menurut seorang pakar jantung, Dr Abdul Razakjr Omar, semasa diminta menilai dapatan kajian Yayasan Jantung Singapura dan syarikat pengeluar suplemen Omega- 3, Schiff MegaRed, baru-baru ini. "Sesuatu telah berlaku dan telah menyebabkan perubahan itu. Ia telah merubah dan membuka minda mereka," ujar pakar jantung dari Hospital Raffles itu.

Kajian melibatkan 500 warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berusia 20 tahun dan ke atas itu, umpamanya, mendapati 79 peratus orang Melayu yang ditinjau mengaku sekarang mereka lebih cenderung membuang kulit ayam.

Peratusan itu tidak jauh berbeza daripada kaum Cina (83 peratus) dan India (81 peratus).

Lebih separuh, iaitu 57 peratus, pul a mengakui bersenam sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Namun, Dr Abdul Razakjr menyatakan masyarakat Melayu perlu berusaha mengurangkan penggunaan santan.

Seramai 43 orang Melayu yang ditinjau berkata mereka menggunakan santan dua tiga kali sebulan, berbanding 27 peratus dalam kalangan kaum Cina dan 29 peratus bagi masyarakat India.

Beliau juga menasihatkan orang Melayu supaya memakan lebih banyak sayur kerana peratusan mereka yang melakukan itu lebih rendah berbanding peratusan yang makan daging. Mereka juga harus mengurangkan makan garam, yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi.

Dr Abdul Razakjr berkata peratusan itu mungkin kurang memberangsangkan, namun ia tidak harus menjadi hambatan usaha memperbaiki keadaan.

Dalam hal ini, Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Pengangkutan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga pengerusi Pelan Induk Hidup Sihat (HLMP), pernah berkata dalam dalam satu wawancara tidak lama dulu: "Apabila kita menjalankan kajian, kadangkala keputusannya tidak begitu positif tetapi ia tidak bermakna tiadanya peningkatan. Cuma ia ekoran kesan yang mungkin mengambil masa sebelum dapat dilihat secara nyata."

Mengenai penyakit punca kematian, kajian itu mendapati masyarakat Melayu tahu ia termasuk barah dan penyakit jantung.

Mereka juga tahu tentang penyakit kencing manis, penyakit jantung dan angin ahmar.

"Bagi saya, kajian itu memberikan pandangan terkini mengenai tingkah laku dan pemahaman masyarakat kita.

Saya mendapati tahap kesedaran telah meningkat, dan berharap ia akan diterjemahkan kepada lebih banyak tindakan susulan bagi memperbaiki keadaan," kata Dr Abdul Razakjr.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.