Muis akan beri geran $250,000 pada RRG

Muis akan beri geran $250,000 pada RRG

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) akan memberi geran $250,000 sepanjang lima tahun mulai tahun depan kepada Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) bagi menyokong usahanya mencegah penularan fahaman melampau dan mengendalikan pusat sumbernya.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, semalam berkata selain memanfaatkan geran itu, RRG perlu memikirkan pelan jangka panjang bagi meneruskan bukan saja programme mencegah penularan fahaman melampau, bahkan mengekalkan keharmonian di negara ini.

"Ancaman pengganasan satu perkara yang dijangka berterusan, dan memandang ke depan, RRG boleh memikirkan tentang peluasan peranan mereka, menjangkau usaha menangani isu pengganasan kepada usaha mengekalkan keharmonian di Singapura.

"Seterusnya ialah apakah cara mereka boleh meneruskan usaha murni ini," kata Dr Yaacob.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas berkunjung ke Pusat Sumber dan Kaunseling RRG di Masjid Khadijah bersama Speaker Cik Halimah Yacob dan Anggota Parlimen Dr Mohd Maliki Osman serta Encik Hawazi Daipi.

Mereka diberi taklimat tentang usaha yang dijalankan RRG dan kemudahan di pusat sumber RRG.

Dr Yaacob dan para AP itu juga mengadakan dialogue tertutup dengan pemimpin dan anggota RRG demi memahami keperluan dan keprihatinan kumpulan relawan itu.

Diminta mengulas dialogue itu, Dr Yaacob berkata beliau akur akan cabaran yang dihadapi RRG dalam melaksana programme dan mengendalikan pusat sumbernya.

"Keprihatinan utama RRG ialah cara meneruskan usahanya dan mereka memerlukan dana dan juga proses mendapatkan pemimpin baru.

Buat masa ini RRG sebuah kumpulan sukarelawan. Mereka tidak terdaftar, dan memandang ke depan, apakah kumpulan berbentuk sedemikian yang terbaik untuk RRG," kata beliau.

Menurut Dr Yaacob, beliau dan AP yang hadir telah memberi nasihat dan saranan kepada RRG.

Ditubuhkan pada 2003, RRG dianggotai asatizah dan ulama setempat yang secara sukarela menjalankan programme mencegah penularan fahaman radikal di sini.

Ia juga menyumbang kepakaran menjalankan kaunseling keagamaan bagi tahanan radikal dan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Memandang ke depan, naib pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata RRG memerlukan dana bagi mendapatkan tenaga kerja sepenuh masa untuk menyokong usahanya.

Semasa ditemui, Ketua Eksekutif Muis, Haji Abdul Razak Hassan Maricar, berkata pihaknya sedia memberi sokongan kepada RRG.

"Ia harus diberi sokongan kuat oleh masyarakat. Oleh itu, Muis sedia memberi geran $50,000 setahun selama lima tahun untuk menampung kegiatan pusat sumber dan kaunseling RRG," kata beliau.

dli@sph.com.sg


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.