Nadi Khidmat perluas usaha dekati masyarakat

Nadi Khidmat perluas usaha dekati masyarakat

SEJAK membuka pintunya pada Mac lalu, pusat Nadi Khidmat di Masjid Al-Muttaqin dan Assyakirin telah mendekati lebih 1,000 keluarga Melayu/Islam yang tinggal di kawasan Jurong dan Ang Mo Kio.

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, juga memerhatikan sebahagian besar keluarga yang dibantu adalah penerima baru yang belum pernah memanfaat programme Mendaki atau Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Mendedahkan demikian semasa ditemui media selepas merasmikan pembukaan pusat Nadi Khidmat di Masjid Assyakirin di Taman Jurong semalam, Dr Yaacob berkata:

"Memang ada sekumpulan masyarakat kita yang belum pernah kami temui dan belum pernah memanfaat programme Mendaki atau Muis. Dengan adanya pusat Nadi Khidmat, kami boleh menganjurkan programme pendekatan, bukan hanya memberi maklumat malah menghulurkan pertolongan kepada mereka."

Nadi Khidmat merupakan usaha sama antara Yayasan Mendaki dan Muis, yang bermatlamat mempermudah dan memperluas khidmat sosial bagi keluarga masyarakat Melayu/Islam.

Sebagai permulaan, enam masjid dipilih menjadi Nadi Khidmat. Selain Masjid Al-Muttaqin dan Assyakirin, empat lagi masjid yang terlibat ialah Masjid Jamiyah Ar-Rabitah di Telok Blangah, Masjid Al-Ansar di Bedok, Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris dan Masjid An-Nur di Woodlands.

Dr Yaacob berkata buat masa ini belum ada rancangan memperluas pusat Nadi Khidmat kepada lebih banyak masjid.

Beliau menerangkan bahawa programme tersebut akan dinilai selepas setahun bagi meneliti keberkesanan programme dan juga kosnya.

"Kita akan terus berusaha dengan pihak masjid dan akar umbi demi mendekati lebih ramai keluarga berpendapatan rendah," ujar Dr Yaacob.

Turut hadir di acara perasmian itu semalam ialah Anggota Parlimen Melayu (AP) antaranya Speaker Parlimen, Cik Halimah Yakob; Profesor Madya Faishal Ibrahim; Encik Zainudin Nordin; Encik Zaqy Mohamad; Encik Zainal Sapari; dan Dr Intan Azura Mokhtar.

Selepas merasmikan pusat berkenaan, Dr Yaacob bersama AP Melayu menyingsing lengan membantu mengagihkan habuan Ramadan kepada keluarga susah yang tinggal di kawasan Taman Jurong.

Usaha itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Encik Tharman Shanmugaratnam, yang juga AP GRC Jurong.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.