Pemerintah dan masyarakat perlu terus pelihara hubungan positif

DR YAACOB IBRAHIM: Gariskan tiga cabaran utama bagi masyarakat Melayu/Islam.
The Straits Times

PEMERINTAH dan masyarakat Melayu/Islam perlu terus memelihara hubungan positif untuk mencari huraian saling menguntungkan bagi cabaran masa depan.

Ini dinyatakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang semalam menggariskan tiga cabaran utama bagi masyarakat Melayu/Islam.

Cabaran itu termasuk kekal relevan dalam ekonomi yang pesat berubah, kerencaman yang meningkat dalam masyarakat, dan ancaman pengganas.

Sedang ekonomi disusun semula, masyarakat perlu tampil untuk meningkatkan diri mereka dan syarikat pula perlu melabur dalam membangun kakitangan mereka.

"Tanpa komitmen ini, akibatnya parah. Kita mungkin akan mempunyai pekerja rajin yang baik tetapi mereka tidak mempunyai kemahiran untuk bersaing dan berjaya dalam ekonomi baru," ujar Dr Yaacob di Parlimen semalam.

Mengenai kepelbagaian dalam masyarakat, Dr Yaacob berkata masyarakat Melayu/Islam selama ini menghargai prinsip sederhana, menghormati perbezaan serta bersikap inklusif.

"Tetapi baru-baru ini, kita mula melihat beberapa kumpulan dalam masyarakat, bukan sahaja dalam masyarakat Melayu/Islam, berpandangan tegar mengenai pelbagai isu kompleks. Penilaian kasar dan label yang memburuk-burukkan diberikan," kata Dr Yaacob.

Ancaman ekstremis pula memerlukan masyarakat bersatu-padu sebagai satu rakyat Singapura dan tidak membenarkan cabaran sedemikian menjejas fabrik sosial.

"Seperti bagaimana kita berdiri bersama-sama menentang ancaman Jemaah Islamiyah, kita perlu dekati setiap lapisan masyarakat dan dengan satu suara rasional lagi sederhana, menolak sikap eksklusif dan doktrin ekstremis," ujar beliau.

Dr Yaacob menggesa masyarakat Melayu/Islam supaya terus memperkukuh kerjasama dengan pemerintah bagi menangani cabaran ini kerana gandingan bahu itu telah menjadi tunggak kemajuan masyarakat selama ini.

Dalam pada itu, beliau akur hubungan pemerintah dan masyarakat akan sentiasa berubah.

"Perspektif pemerintah dan masyarakat tidak selalu sejajar kerana kita memandang isu dengan keprihatinan berbeza," ujar Dr Yaacob.

Contohnya, pemerintah berhati-hati tentang bagaimana keagamaan yang meningkat boleh memperdalam perpecahan, tetapi ada penganut pelbagai agama mungkin menganggap keagamaan sebagai satu pembangunan positif yang menjadikan masyarakat lebih bersemangat dan aktif.

Dr Yaacob, yang juga Menteri Penerangan dan Perhubungan, semalam turut memberi maklumat lanjut tentang penyusunan semula penguasa media dan infokom.

Minggu lalu, beliau mengumumkan Penguasa Pembangunan Infokom (IDA) dan Penguasa Pembangunan Media (MDA) disusun semula menjadi Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) dan sebuah lagi agensi baru, yang buat masa ini dinamakan Pertubuhan Teknologi Pemerintah (GTO).

IMDA akan memacu inovasi di peringkat sektor, manakala GTO akan membantu pemerintah memahami dan menggunakan teknologi untuk menyampaikan perkhidmatan awam yang lebih baik.

TIGA CABARAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Ekonomi yang pesat berubah dan tidak menentu yang mana masyarakat harus mempertingkat diri bagi meraih manfaat inisiatif nasional agar dapat kekal relevan

Kepelbagaian yang memerlukan masyarakat menegakkan rasa saling hormat dan memahami meskipun terdapat perbezaan pendapat

Ancaman ekstremis yang memerlukan masyarakat bersatu-padu sebagai satu rakyat Singapura dan tidak membenarkan cabaran sedemikian menjejas fabrik sosial

adilaham@sph.com.sg


This article was first published on January 27, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.