Pendeta Cikgu Ariff meninggal

Pendeta Cikgu Ariff meninggal

MASYARAKAT Melayu/Islam Singapura kehilangan sebutir lagi permata persuratan dengan pemergian Pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad.

Dikenali dengan panggilan mesra Cikgu Ariff, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 pagi semalam di Hospital Khoo Teck Puat.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 91 tahun akibat sakit tua.

Beliau meninggalkan balu, Hajah Sarinah Haji Haniff, empat anak dan enam cucu.

Menurut anaknya, Encik Muhammad Shah Peri, Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 14 Mac lalu dan keadaannya bertambah lemah dari hari ke hari sejak itu.

"Sebelum dimasukkan ke hospital, Allahyarham boleh berbual seperti biasa dan ingatannya masih tajam. Cuma badannya sahaja yang lemah.

"Di hospital, keadaannya menjadi lebih teruk sehinggalah awal pagi tadi (semalam), doktor suruh kami mengumpulkan ahli keluarga di hospital," kata Encik Muhammad Shah Peri, 51 tahun.

Mayat Allahyarham dibawa pulang ke rumah teresnya di Nemesu Avenue sekitar 11.20 pagi.

Jenazahnya dibawa ke Masjid Ba'alwie bagi solat jenazah sekitar 4.30 petang yang dipimpin mantan Mufti, Shaikh Syed Isa Semait.

Saudara-mara, rakan-rakan guru serta pemimpin masyarakat dan negara membanjiri kediaman Allahyarham sejak mendapat berita pemergian budayawan negara itu.

Antara yang hadir tengah hari semalam ialah Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Anggota Parlimen GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam; dan sasterawan, Haji Suratman Markasan.

Menteri Perhubungan dan Penerangan yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menyertai solat jenazah bagi Allahyarham di Masjid Ba'alwie pada sebelah petang.

nurdhuha@sph.com.sg


This article was first published on March 24, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.