Sekularisme di S'pura tidak menghambat agama

ENCIK MOHD ALAMI: Singapura amalkan sekularisme bercorak prosedur, buka sekuralisme programatik.
PHOTO: Berita Harian

Masyarakat Islam Singapura dapat hidup dalam suasana beragama dengan selesa walaupun Singapura adalah negara yang mengamalkan dasar sekularisme.

Ini kerana proses sekularisme tidak digunakan dalam semua aspek dan hanya digunakan dalam bidang yang diperlukan, kata Duta Besar dan juga Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohd Alami Musa.

Malah terdapat banyak tanda dan bukti yang menunjukkan bahawa kehidupan beragama adalah amat tinggi dan sangat positif dari segi nilai-nilai sosial di Singapura.

"Kita boleh hidup sebagai umat Islam. Kita mempunyai fakta empirikal yang menunjukkan mereka boleh hidup selesa, sebagai Muslim yang beriman dan beragama, sebagai rakyat yang baik dalam satu sistem sekular, walaupun ada juga masalah dan isu yang belum diselesaikan, yang masih lagi dibincangkan," kata beliau semasa menyampaikan ucaptama satu persidangan antarabangsa semalam.

Persidangan 'Sekularisme Negara dan Integrasi minoriti Muslim dalam konteks berbilang kaum dan berbilang agama: Pengajian Perbandingan Singapura dan Perancis' itu anjuran Bersama Universiti Sorbonne Paris Cite dan Universiti Nasional Singapura, di Persatuan Universiti Nasional Singapura (NUSS) di Guild House.

Membentangkan topik 'Prospek dan cabaran bagi masyarakat Muslim di negara sekular dan masyarakat majmuk', Encik Mohd Alami berkata walau Singapura sebuah negara sekular, proses sekularisme ini tidak digunakan melebihi keperluan. Ia hanya digunakan pada perkara yang diperlukan.

"Singapura bukan dogmatik dan tidak terlalu pragmatik tetapi bijak dan seimbang dalam melaksanakan sekularisme sebagai satu sistem untuk tidak melibatkan agama dalam hal ehwal kenegaraan dan dalam sistem politiknya.

"Ini kerana negara tidak mahu melihat masalah-masalah yang akan dihadapi jika agama bercampur aduk dengan persaingan politik dan kuasa.

"Singapura mengamalkan apa yang dipanggil sebagai sekularisme bercorak prosedur, buka sekuralisme programatik.

"Negara ditadbir dan dipimpin melalui idea-idea yang boleh diterima umum tanpa menggunakan kitab agama atau teks agama kerana ini adalah sistem sekularisme.

"Singapura mengaplikasikan sekularisme dalam bidang tertentu yang diperlukan untuk mencapai ketenteraman umum, untuk kemaslahatan umum dan untuk mencapai keamanan sosial dalam suasana majmuk di Singapura," kata Encik Mohd Alami kepada sekitar 100 peserta.

Walaupun Singapura negara sekular dan negara paling majmuk dari segi agama, beliau berkata kehidupan agama stabil dan malah berada di peringkat tinggi.

"Kalau kita lihat impak sekularisme dari segi penglibatan agama, nilai-nilai agama dan pengamalan agama, semua ini berada di tahap tinggi. Ia bermakna sekularisme di Singapura tidak menghambat agama.

"Malah agama itu wujud seiring dengan sistem sekularisme.

"Bagi masyarakat Islam Singapura, banyak tanda yang menunjukkan bahawa dari segi keagamaan ia amat tinggi, dari segi nilai-nilai sosial dalam negara Singapura ini sangat positif," ujar beliau.

Namun terdapat kekurangan dari segi pandangan hidup yang dipegang oleh umat Islam untuk hidup dalam sistem sekularisme, kata Encik Mohd Alami, yang juga Ketua Pengajian Perhubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.

Turut menyampaikan ucaptama ialah Duta Besar Perancis yang juga Kaunselor bagi Ehwal Angama Kementerian Ehwal Luar Perancis, Encik Jean-Christophe.

Beberapa pembentangan sepanjang hari membincangkan beberapa isu berhubung masyarakat minoriti Islam di Singapura dan Perancis.


This article was first published on April 19, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

VIDEOS TO WATCH

SERVICES