Tempahan korban setempat rancak, luar negara perlahan

Tempahan korban setempat rancak, luar negara perlahan

HAMPIR 70 peratus kambing yang ditawarkan Jawatankuasa Korban Masjid- Masjid Singapura (JKMS) bagi ibadah korban tahun ini sudah ditempah, lebih tiga minggu menjelang Hari Raya Haji.

Namun, beberapa pertubuhan yang menjalankan ibadah korban di luar negara berkata tempahan agak perlahan setakat ini, tetapi dijangka rancak akhir bulan ini.

Sebanyak 3,500 kambing - 2,000 dari sumber tradisional Australia dan 1,500 dari sumber baru Ireland - akan diimport bagi ibadah korban yang akan dijalankan 24 masjid tahun ini.

Tidak seperti tahun lalu, tiada kambing diimport dari Canada tahun ini.

Harga kambing korban tahun ini ialah $499 seekor bagi kambing Australia dan $575 seekor bagi kambing Ireland. Harga kambing Canada tahun lalu ialah $757.

Semasa dihubungi, Pengerusi JKMS, Ustaz Rashid Ramli, berkata sekitar 800 kambing Ireland dan 1,600 kambing Australia telah ditempah sejak pendaftaran dibuka sekitar dua minggu lalu.

"Sambutan sejauh ini memuaskan memandangkan tahun ini lebih banyak kambing ditawarkan. Antara sebabnya ialah lebih banyak masjid menjalankan korban, bermakna lebih banyak pilihan bagi jemaah, dan harga kambing biri-biri dari Ireland lebih rendah daripada harga kambing dari Canada tahun lalu," ujar beliau.

Menurut beliau, tempahan di masjid dalam kawasan kejiranan sangat rancak. Misalnya, tempahan di Masjid Ar-Raudhah, Al-Mukminin dan Assyakirin ditutup dalam masa satu hingga dua minggu pendaftaran dibuka.

"Sambutan bagi kambing Ireland juga menggalakkan. Contohnya, di Masjid Alkaff Kg Melayu, tempahan ditutup dalam masa dua minggu sahaja," katanya.

Kambing korban, yang akan diimport Mini Environment Service Pte Ltd (MES), dijangka tiba di Singapura antara 2 dengan 3 Oktober.

Hari Raya Haji pula dijangka pada 5 Oktober.

Sementara itu, pertubuhan yang menjalankan korban di luar negara, antaranya Indonesia, Kemboja dan Palestin, berkata tempahan masih perlahan kerana jemaah lazimnya menempah pada saat-saat akhir.

"Masyarakat Islam setempat lazimnya membuat tempahan saat terakhir, jadi buat masa ini tempahan belum begitu rancak. Tetapi kami yakin dapat menepati sasaran 1,000 kambing tahun ini," kata pemilik Al Qiblah International, Ustaz Azmi Abdul Samad, yang menjalankan ibadah itu di Indonesia dan Kemboja.

Pengurus projek korban Ampro Holdings, Cik Bimah Musa, juga berkata "terlalu awal" untuk mengulas tentang tempahan bagi khidmat ibadah korban syarikat itu. Pihaknya menyasarkan 500 kambing yang akan dikorbankan di Gaza.

Pengurus projek korban Perdaus, Ustaz Raja Muzaffar Shah Raja Rosli, pula berkata 450 daripada 1,000 kambing korban yang disasarkannya sudah ditempah.

Perdaus melaksanakan ibadah itu di Malang, Indonesia, dan Palestin. Dianggarkan lebih 5,000 kambing akan dikorbankan Muslim Singapura di luar negara.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.