Yaacob: MediShield Hayat beri manfaat pada Melayu

Yaacob: MediShield Hayat beri manfaat pada Melayu

MEDISHIELD Hayat yang bakal dilaksanakan tahun depan, akan banyak memberi manfaat kepada masyarakat Melayu/Islam, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Ini kerana skim insurans nasional itu akan memberi perlindungan insurans asas kepada semua warga tidak kira usia dan termasuk yang mempunyai penyakit sedia ada.

"Seperti dimaklumi, perlindungan insurans dalam masyarakat Melayu tidak begitu baik.

"Pada masa yang sama, ramai orang Melayu juga yang menghadapi isu kesihatan dan mungkin mendapatinya sukar mendapatkan perlindungan insurans sebelum ini," ujar Dr Yaacob.

Oleh itu, ramai yang akan mendapat perlindungan insurans lebih luas apabila mereka disertakan dalam MediShield Hayat secara automatik tahun depan.

Baru-baru ini, pemerintah menerima saranan Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat untuk menawarkan perlindungan insurans kesihatan yang lebih baik seumur hidup kepada semua warga.

Ia juga bertujuan mengurangkan jumlah wang yang perlu dikeluarkan pesakit daripada kocek sendiri untuk membayar bagi rawatan di hospital atau rawatan penyakit luar seperti dialisis dan kemoterapi.

Dengan manfaat yang diperluaskan, premium bagi MediShield Hayat akan naik tetapi masyarakat Melayu/Islam juga tidak perlu risau kerana pemerintah akan memberi subsidi untuk membantu membiayainya, kata Dr Yaacob lagi.

Ditanya mengenai usaha memupuk kesedaran dalam masyarakat berkenaan MediShield Hayat, beliau berkata Anggota Parlimen (AP) terus menjalankan usaha di peringkat bawah untuk menerangkan manfaat skim tersebut.

"Saya juga akan meminta Yayasan Mendaki untuk mengkaji sama ada kami perlu mengendali satu programme khas," ujarnya.

Beliau berkata pusat Nadi Khidmat yang kini beroperasi di enam masjid boleh menjadi satu titik permulaan bagi menjelaskan skim tersebut.

Nadi Khidmat merupakan sebuah inisiatif bersama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Mendaki dengan kerjasama enam masjid yang bertujuan memudahkan anggota masyarakat memerlukan mendapatkan bantuan.

Enam masjid itu ialah Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio, Masjid Assyakirin di Taman Jurong, Masjid Jamiyah Ar-Rabitah di Telok Blangah, Masjid Al-Ansar di Bedok, Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris dan Masjid An-Nur di Woodlands.

Mengulas kesedaran masyarakat Melayu mengenai perlindungan insurans, Dr Yaacob berkata ia mungkin berkaitan dengan kesedaran perancangan kewangan dalam masyarakat serta kemampuan untuk membayar premium.

Oleh itu, MediShield Hayat amat dialu-alukan bagi masyarakat Melayu/Islam.

"Walaupun ada perlindungan insurans kelak, penting juga untuk menjaga kesihatan serta mengamalkan gaya hidup yang sihat," ujarnya.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.