Majlis Bahasa akan terus dokong usaha galak penggunaan bahasa Melayu

Majlis Bahasa akan terus dokong usaha galak penggunaan bahasa Melayu

MAJLIS Bahasa Melayu Singapura (MBMS) akan mengambil kira bertambahnya minat rakyat Singapura yang bukan Melayu pada bahasa Melayu.

Pengerusi MBMS, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memberitahu Berita Harian, pihaknya menyambut baik respons di media setempat, termasuk beberapa surat yang disiarkan dalam forum pembaca di akhbar The Straits Times.

Turut menulis di akhbar itu, mantan Anggota Parlimen dan aktivis akar umbi, Hj Wan Hussin Hj Zoohri telah menggesa MBMS agar dapat menampung jangkaan minat pada bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar dengan negara jiran yang ekonominya terus berkembang.

Awal tahun ini, Profesor Kishore Mahbubani dalam siri makalahnya di The Straits Times mengenai idea besar untuk penakatan Singapura, turut menyebut peri penting bahasa Melayu dikuasai rakyat Singapura, sekurang-kurangnya secara lisan.

Dalam hal ini, Encik Masagos Zulkifli mengulas: "Pelbagai usaha dari sudut ekonomi, sosial dan politik yang perlu dilakukan bersama dalam rangka membina penakatan Singapura 50 tahun lagi dan bahasa ibunda, termasuk bahasa Melayu merupakan satu daripada perkara yang harus diberikan kepentingan dalam mengekalkan warisan kita sebagai sebuah negara merdeka."

Kata Encik Masagos Zulkifli yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar dan Dalam Negeri), MBMS akan terus mendokong peranan menggalakkan warga Singapura menggunakan bahasa Melayu apabila ada peluang.

Ini termasuklah merangsang rakyat Singapura menyertai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan anjuran MBMS dan pertubuhan masyarakat dan akar umbi.

Namun, beliau menegaskan bahawa keutamaan MBMS ialah memastikan bahasa Melayu kekal sebagai jati diri masyarakat Melayu.

Untuk itu, MBMS akan memberikan tumpuan pada peranan pelajar, guru dan ibu bapa Melayu.

"Penggunaan bahasa ibunda harus berlaku secara semula jadi dalam sebanyak suasana tanpa menunggu pesta dan acara untuk menggunakannya. Sasterawan Singapura pula menghasilkan karya bangsa kita yang menjadi piawai emas (gold standard) Bahasa Melayu Singapura yang bukan hanya kreatif dan segar tapi juga menarik dan tepat dengan konteks dan cita rasa bangsa Melayu Singapura," katanya.

Tahun depan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara ini, MBMS turut sibuk mengadakan acara-acara khas termasuk Sidang Majlis Sastera Asia Tenggara (yang dianggotainya pada 2012).

Buku dan pameran mengenai liku-liku persuratan Melayu pasca merdeka Singapura juga bakal dipersembahkan.


This article was first published on December 23, 2014.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.