Realistik bantu pekerja hadapi cabaran hari ini

Realistik bantu pekerja hadapi cabaran hari ini

LANGKAH dalam Belanjawan tahun ini bersifat realistik membantu pekerja mengharungi cabaran yang dihadapi sekarang, di samping tetap memandang ke depan mempersiap pekerja untuk hari muka.

Ia merangkumi inisiatif bagi pekerja yang terjejas dalam suasana ekonomi lembap dan disusun semula, serta sokongan merebut kemahiran serta peluang baru yang diteruskan menerusi SkillsFuture.

Demikian rumusan anggota panel sebuah perbincangan meja bundar anjuran Berita Harian (BH) Khamis lalu selepas Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, menyampaikan ucapan sulungnya dalam Belanjawan Negara.

Bincang Belanjawan BH itu disertai Anggota Jawatankuasa SME Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Abdul Rohim Sarip; Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Azmoon Ahmad; Pengarah Eksekutif Mendaki Sense, Encik Mohd Heikal Yusope; Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Zainal Sapari, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol; dan AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad.

Mengulas cabaran terdekat, Encik Zainal berkata langkah dalam Belanjawan kali mengatasi cabaran hari ini seperti kian ramai pekerja yang dibuang kerja dan menghadapi kesukaran mencari pekerjaan baru.

"Inilah sebab pemerintah menyokong pekerja meraih kemahiran baru. Dan pemerintah akur ada karyawan dan eksekutif juga mungkin menghadapi kesukaran meraih kemahiran baru itu," ujar Encik Zainal.

Antara langkah yang diumumkan Encik Heng bagi membantu pekerja ialah inisiatif Suai Maju.

Di bawah inisiatif itu, pemerintah akan memperluas skim sokongan gaji bagi menggalakkan firma menggajikan pekerja yang sukar mendapat pekerjaan.

Individu yang dalam peringkat pertengahan kerjaya termasuk yang dibuang kerja, pula akan dipadankan dengan pekerjaan dalam SME seperti sektor ICT dan rekaan.

Inisiatif seperti ini menunjukkan bahawa pemerintah bersikap realistik mengenai cabaran yang dihadapi sekarang tetapi tetap memandang ke depan bagi merebut peluang masa depan.

"Dalam belanjawan itu, pemerintah membincangkan tentang teknologi baru, robotik dan automasi agar warga Singapura faham inilah caranya bergerak untuk masa depan," ujar Encik Heikal.

Dalam ucapannya, Encik Heng menyifatkan inisiatif SkillsFuture, yang dilancarkan pada November 2014, sebagai rancangan jangka panjang pemerintah, yang akan terus diperluas dan diperdalam.

Satu lagi inisiatif yang menarik perhatian anggota panel perbincangan itu ialah Pemacu Kemahiran Teknologi, sebuah hab yang bertujuan menggalak individu belajar kemahiran dan mendapat pekerjaan dalam sektor teknologi infokom (ICT).

Encik Zaqy berkata banyak peluang yang boleh direbut dalam industri itu dengan ada lulusan baru tamat pengajian meraih gaji $4,000 sebulan dalam bidang itu.

Encik Azmoon pula menggesa masyarakat memandang serius bidang ICT.

"ICT akan datang dan ia tidak akan berlalu pergi. Ia akan menjadi satu yang amat penting dalam masyarakat kita," ujar Encik Azmoon.


This article was first published on March 28, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.